fb fb fb fb fb

Polis Kelantan siap sedia hadapi PRK Nenggiri

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

MACHANG, 2 Julai- Polis Kelantan melakukan persiapan teliti bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang pada 17 Ogos nanti.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ini termasuk mengenal pasti keperluan keanggotaan, logistik dan sebagainya bagi memastikan aspek keselamatan sepanjang PRK tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik.
 
Jelas beliau, perbincangan lanjut bersama Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud dan merujuk kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi memperkemaskan lagi gerak kerja PRK itu nanti.

"Apa pun sudah pun dimulakan dan berdasarkan maklumat diperoleh berkait kawasan di Nenggiri ini, tidak ada perubahan dari segi jumlah pengundi.

"Kita perlukan keanggotaan yang ramai terutama dari segi pencegahan dan kawalan lalu lintas. Setiap perubahan dan elemen-elemen keselamatan lain juga akan diambil kira dengan merujuk RO selain memastikan kekuatan anggota mencukupi,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Kelantan 2024 di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata pihaknya pada bila-bila masa akan meminta bantuan keanggotaan dari Bukit Aman yang sudah menyatakan kesediaan membantu.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos. 

ZEHRA BINTI ZAMBRI