PUTRAJAYA, 12 November - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima sesiapa sahaja sebagai calon pilihan raya, termasuk individu yang baharu menyertai parti itu.
Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ahli lama yang mengasaskan parti juga tidak pernah diketepikan dan tetap diberi peluang bertanding.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menegaskan, keutamaan PKR adalah memilih calon yang mampu membawa kemenangan kepada gabungan PH.
"Sifat parti Keadilan ini parti terbuka, inklusif bukannya eksklusif. Apabila menamakan calon, sudah tentu Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya telah mengambil kira semua perkara yang mereka berikan pertimbangan adalah kebolehmenangan.
"Saya percaya mereka telah membuat semakan daripada semua perkara termasuklah melibatkan calon-calon yang sudah mempunyai rekod penyertaan pelbagai parti jadi itu lumrah dalam politik kita," katanya pada sidang media Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025 hari ini.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 November lalu mengumumkan senarai 10 calon daripada parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah.