fb fb fb fb fb

Pengundian awal PRK Mahkota tamat, 93.17 peratus keluar mengundi

Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota selesai apabila tiga pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang / Foto RTM

KLUANG, 24 September – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota selesai apabila tiga pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang, setelah dibuka sejak 8 pagi tadi.

Pusat pengundian tersebut adalah Dewan Mahkota di Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud di Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, peratusan keluar mengundi mencecah 93.17 peratus sehingga pukul 3 petang, melebihi sasaran awal SPR sebanyak 90 peratus.

Proses pengundian awal itu melibatkan 4,510 anggota tentera dan pasangan, serta 401 anggota polis.

Mereka merupakan sebahagian daripada 66,318 pengundi berdaftar di kawasan DUN Mahkota.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun menggesa pengundi Mahkota untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian, Sabtu ini.

"Pada PRK DUN Nenggiri bulan lepas, peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus dan kami berharap peratusan tinggi juga dicapai di sini. Sasaran kami adalah setinggi yang boleh," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Dewan Mahkota, Kem Mahkota, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN