fb fb fb fb fb

Pendekatan hibrid digunakan dalam PRK DUN Mahkota

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Pendekatan hibrid yang menggabungkan jentera parti Barisan Nasional (BN) dan parti komponen Kerajaan Perpaduan akan digunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, September ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan itu bertujuan untuk memastikan kelancaran pergerakan jentera yang sedia ada, dengan sasaran khusus untuk menarik undi daripada kira-kira 66,000 pengundi Cina di kawasan tersebut.

"Oleh kerana terdapat kira-kira 35 peratus daripada 66,000 pengundi di Mahkota terdiri daripada pengundi keturunan Cina, kita menyantuni semua parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada.

"Untuk itu, ada segmen tertentu yang kita berikan kepada DAP, manakala yang lain kita serahkan kepada MCA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Ekplorasi TVET di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Selain itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa kaedah yang sama akan digunakan untuk menggerakkan jentera Kongres India Malaysia (MIC) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam usaha menawan kira-kira 8,000 pengundi India di DUN tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN