KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Agensi kerajaan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan.
Sebagai persiapan, pelbagai strategi dilaksanakan bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini. Ini termasuk menyelaras aset, logistik dan sumber manusia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, sebanyak 61,839 anggota melibatkan lima gabungan agensi di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diberikan pendedahan tentang persiapan banjir, terutamanya membabitkan pelaksanaan simulasi bencana serta pusat kawalan operasi.
"Kita tambah nilai dengan persiapan di peringkat komuniti pula. Kita telah libatkan seramai 24,069, jadi gabungan antara sumber manusia di peringkat agensi kerajaan dan juga di peringkat awam ini, kita yakin persiapan kita dalam menghadapi bencana ini dari tahun ke tahun akan menjadi lebih baik", katanya kepada RTM.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin memberitahu JBPM mengarahkan 24,283 pegawai, anggota dan sukarela bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir tahun ini.
Antaranya, kesiapsiagaan anggota melibatkan latihan pengukuhan pengendalian bot dan latihan menyelamat di air.
"Kita juga akan bekerjasama dengan 358 balai pasukan bomba sukarela di seluruh negara dengan keanggotaan 7,898 bomba sukarela bagi memastikan kita mempunyai jumlah keanggotaan yang mencukupi bagi menghadapi bencana di seluruh negara dari segi persediaan logistik pula, sebanyak 1150 buah kenderaan logistik darat dan air pelbagai fungsi termasuk kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat dan kenderaan marin juga berada dalam keadaan yang baik dan bersedia", katanya.
Selain itu pihaknya telah mengenal pasti kawasan tumpuan membabitkan 5,648 lokasi banjir serta 254 lokasi cerun kritikal.
Persediaan menghadapi banjir bukan hanya terletak pada bahu kerajaan atau agensi terlibat, paling penting orang ramai juga harus turut sama memainkan peranan dnegan membuat persiapan awal dalam menghadapi fasa peralihan monsun timur laut ini.
Ketika cuaca tidak menentu ini juga, elak melakukan sebarang aktiviti riadah air di kawasan berisiko sebagai langkah keselamatan.
Laporan: Wartawan, Fatin Aqila Nor Azli