TAPAH 22 April – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Ayer Kuning agar tidak menyemai kebencian dalam kalangan rakyat hanya kerana perbezaan politik.
Menurut Saifuddin walaupun perbezaan pandangan, pilihan dan parti adalah lumrah dalam sistem demokrasi, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menanam permusuhan dalam masyarakat setempat.
“Kalau ada elemen-elemen atas nama politik yang memilih jalur berbeza pendapat antara kami dan kamu, berbeza pilihan, berbeza warna... itu dijadikan asas untuk menanam bibit kebencian, itu tak boleh.
"Orang yang berkempen 14 hari, lepas itu dia balik. Tapi orang Ayer Kuning yang akan terus tinggal di sini,” katanya.
Saifuddin menegaskan bahawa kempen politik seharusnya dijalankan secara matang dan menghormati keamanan yang dinikmati rakyat tempatan.
“Sepanjang 14 hari ini, kalau nak naik pentas untuk berkempen, silakan. Ini pesta demokrasi", katanya demikian pada sidang media Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Sukarelawan Malaysia daerah Batang Padang di Dewan Komuniti Kampung Changkat Petai di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin menyifatkan tujuh laporan polis yang diterima sepanjang tempoh kempen PRK DUN Ayer Kuning adalah rendah berbanding kempen pilihan raya sebelum ini.
Ia sekali gus menggambarkan pematuhan terhadap peraturan kempen berada pada tahap yang baik.