fb fb fb fb fb

Dr. Mohamad Yusri, calon terbaik untuk Ayer Kuning - Zahid

Foto BERNAMA

IPOH, 12 April- Barisan Nasional (BN) yakin dengan pemilihan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata nama-nama calon sudah dibentangkan terlebih dahulu pada bulan lalu oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed untuk dinilai dari segi kesesuaian sebagai calon PRK DUN Ayer Kuning.
 
Menurut beliau, pemilihan Dr. Mohamad Yusri sebagai calon BN untuk PRK DUN Ayer Kuning bukan atas faktor assabiyah atau nepotisme tetapi potensi yang dilihat berdasarkan latar belakang calon.

"Saya yakin bahawa Ustaz Yusri adalah pilihan terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).Saya berucap di Majlis KEMAS tadi, saya berjanji sebagai TPM, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Saya berjanji pada beliau, insya-Allah, sekiranya menang dengan cemerlang apa yang beliau minta untuk pembangunan penduduk di Ayer Kuning ini. Insya-Allah atas kebenaran YB Menteri Besar, saya akan bawa ke Ayer kuning ini," kata Dr. Ahmad Zahid, hari ini.
 
Beliau berkata demikian dalam Majlis Jamuan Makan Tengah Hari dan Program Ramah Mesra PDM Changkat Petai, hari ini.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berharap agar semua tidak risau dengan sebarang isu yang dibangkitkan pihak luar tetapi yakin dengan pemilihan calon yang telah dipilih.

Dalam pada itu, beliau juga berharap jentera parti memanfaat masa berkempen sebaik- baiknya tanpa memprovokasi pihak lain dan berpolitik secara matang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM