KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Kerusi Dewan Negeri (DUN) Mahkota yang sebelum ini disandang oleh Wanita UMNO tidak semestinya diserahkan kepada sayap parti tersebut.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemilihan calon dilakukan melalui perbincangan sebelum keputusan diputuskan.
"Ada dibawa oleh wanita tetapi itu terpulang kepada kita punya perbincangan dan terpulang sama ada individu yang boleh dijadikan calon memenangi pilihan raya.
"Tidak ada ketentuan lagi. Bukan kerana kerusi itu dahulunya wanita kita mesti bagi kepada wanita. Ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Terdahulu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerusi itu bagi meneruskan legasi penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga EXCO Wanita.
Tuntutan dibuat dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di WTC Kuala Lumpur.
Pemuda UMNO dalam perbahasan hari ini turut mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dipilih sebagai calon.
Dalam pada itu, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerima dan mendengar laporan daripada wakil-wakil MKT ke persidangan sayap-sayap wanita, pemuda dan puteri parti itu yang berlangsung siang tadi.
Menurut Mohamad, pelbagai perkara dibangkitkan dan dibincang pada mesyuarat tersebut.
"Pelbagai perkara yang telah dibincangkan dan banyak usul-usul yang telah dibawa oleh ketiga-tiga peringkat.
"Mesyuarat ini adalah khusus untuk wakil-wakil MKT yang hadir di ketiga-tiga mesyuarat ini melaporkan apa yang telah dibahaskan perwakilan di ketiga-tiga sayap," katanya.
Antara isu yang diberikan tumpuan oleh ketiga-tiga sayap berkenaan termasuk peluang kepada tenaga muda untuk bersama-sama mengurus parti, keberkesanan dasar-dasar pelajaran selaras dengan perubahan teknologi dan pemerkasaan wanita.