fb fb fb fb fb

Calon BN DUN Ayer Kuning manfaat media sosial tarik pengundi muda

Calon BN DUN Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir ketika wawancara bersama Timbalan Presiden MCA / Foto RTM

KAMPAR, 23 April-Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir, memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial sebagai saluran utama untuk menyampaikan mesej kempen, khususnya kepada pengundi muda dan mereka yang berada di luar kawasan.

Menurut beliau, pendekatan digital bukan sahaja lebih pantas dan fleksibel, malah jauh lebih berkesan dalam menarik perhatian generasi muda yang cenderung kepada maklumat dalam talian.

“Ini adalah usaha yang sangat baik dan bersesuaian dengan keperluan generasi baharu.

"Generasi lama masih ada, tetapi generasi baharu lebih suka melihat tawaran dan pencapaian melalui media sosial, jadi kita boleh jelaskan secara lebih jelas,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan media sosial juga membolehkan mesej kempen disampaikan kepada pengundi di mana sahaja mereka berada, sekali gus memperluaskan capaian kempen BN.

“Saya fikir ini antara pendekatan yang sesuai dengan zaman sekarang.

"Selain daripada kempen secara fizikal dari rumah ke rumah, kita akan pelbagaikan lagi usaha-usaha untuk pastikan sasaran kita tercapai,” katanya dalam satu wawancara bersama Timbalan Presiden MCA di sini.

Dr. Mohamad Yusri turut yakin gabungan antara kempen fizikal dan digital akan membolehkan BN menyantuni pelbagai lapisan masyarakat secara lebih menyeluruh dan berkesan dalam usaha meraih kepercayaan pengundi.

Bagi aktiviti kempen hari ini, beliau memulakan program seawal pukul 8 pagi dengan sesi Kopitiam Talk bersama penduduk setempat, yang memberi ruang untuk berinteraksi secara santai serta mendengar sendiri pandangan dan isu yang dibangkitkan oleh komuniti tempatan.

Kempen diteruskan dengan program ziarah dari rumah ke rumah di lima lokasi sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Simpang Tiga, sebagai usaha mendekati pengundi secara lebih dekat dan mesra.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD