fb fb fb fb fb

Calon BH, PN memulakan kempen pada hari pertama

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.29 Mahkota/Foto RTM

KLUANG, 14 September - Perkembangan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.29 Mahkota, Kluang.

Dua calon yang bertanding dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah memulakan kempen mereka pada hari pertama, sejurus selepas penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, memulakan kempen dengan menghadiri Pusat Pelancaran Jentera Harapan pada pukul 10:48 pagi di Jalan Mersing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut hadir dalam acara tersebut.

Dalam ucapannya yang disampaikan dalam bahasa Mandarin, Syed Hussien menekankan bahawa kebolehannya berbahasa Mandarin memberinya kelebihan dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, khususnya di kawasan Dewan Negeri Mahkota.

Beliau juga menekankan pendekatan untuk menjaga sensitiviti masyarakat, terutamanya perkara yang berkaitan dengan Raja, Agama, dan Kaum (3R).

Syed Hussien turut beramah mesra dengan komuniti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Satu pada pukul 2 petang, ditemani Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sementara itu, calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, memulakan kempen dengan melancarkan jentera wanita dan pemuda di Taman Idaman, Kluang, pada pukul 10:30 pagi.

Mohamad Haizan, yang lebih dikenali sebagai 'Coach Haizan', kemudiannya menghadiri dua majlis perkahwinan pada pukul 11:30 pagi, sebelum melawat isterinya di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, pada pukul 1:05 tengahari.

Trainee