JEMPOL, 1 Mei - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi belum menentukan mana-mana calon sebagai 'poster boy' parti itu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan.
Menurut beliau, hasil perjumpaan dengan kepimpinan UMNO Sabah semalam, satu garis panduan telah diberikan bagi menghadapi PRN akan datang.
"Saya sendiri akan berunding dengan kepimpinan UMNO Sabah bagi menentukan siapa yang boleh diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan siapa yang boleh mengetuai kerajaan negeri apabila jumlah kerusi diperoleh paling banyak oleh mana-mana kumpulan parti di Sabah," katanya.
Beliau memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Lembaran Kasih Aidilfitri 2025 bersama Warga FELDA di Padang Awam Felda Palong Tiga, Jempol, hari ini.
Terdahulu media melaporkan berkenaan cadangan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir memilih Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai 'poster boy' parti itu pada PRN nanti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghormati keputusan itu namun belum masanya untuk mengetengahkan mana-mana individu atau pemimpin sebagai 'poster boy'.