fb fb fb fb fb

Status pembinaan bandar perabot di Gua Musang dipersoal

BN Gua Musang mempersoalkan status terkini pembinaan bandar perabot yang dilancarkan oleh kerajaan Kelantan pada 10 September 2020 selepas tiada sebarang gerak kerja dilaksanakan.

GUA MUSANG, 11 Ogos- Barisan Nasional (BN) Gua Musang mempersoalkan status terkini pembinaan bandar perabot yang dilancarkan oleh kerajaan Kelantan pada 10 September 2020 selepas tiada sebarang gerak kerja dilaksanakan ketika ini.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, projek yang digelar Madinatul Athasi itu telah dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semasa berlangsungnya upacara pecah tanah.

Beliau yang juga ADUN Galas berkata, dengan wujudnya pelaburan bandar perabot, ia akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat di Gua Musang, namun sehingga kini ianya masih tidak menjadi kenyataan.

"Saya amat mengharapkan kewujudan bandar perabot ini menjadi kenyataan walau cepat atau lambat,

"Sebagai wakil rakyat Galas di Gua Musang saya menaruh sedikit kebimbangan sekiranya nanti bandar perabot gagal, namun Projek Ladang Hutan sahaja yang menjadi kenyataan oleh pemaju atau penggerak projek," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN Gua Musang di Bukit Cekati hari ini

Dalam sesi Pengulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 31 Mac 2022, Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan ketika itu, Datuk Hanifa Ahmad berkata, sebuah syarikat telah dianugerahkan 141 hektar tanah tapak bandar perabot di Gua Musang dengan komitmen untuk pembinaan tiga kilang yang akan dimulakan pada pertengahan tahun 2022.

Ujarnya, jika semasa pengulungan DUN Kelantan diberikan alasan pandemik COVID-19 telah menyebabkan ianya tertangguh, kini apakah masalah sebenar yang menjadi penyebab kelewatan projek tersebut.

Mohd Syahbuddin memberitahu, dalam keadaan rakyat Gua Musang ternanti-nanti harapan bandar perabot ini disiapkan untuk mereka mendapat peluang pekerjaan, pihaknya telah berjaya mengesan melalui laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) tahun 2023 terdapat tiga projek Ladang Hutan di bawah syarikat terlibat.

ZEHRA BINTI ZAMBRI