
MELBOURNE, 27 Januari – Naib juara Terbuka Australia tahun lalu, Alexander Zverev, mara ke separuh akhir kejohanan selepas menewaskan pemain muda dari Amerika Syarikat, Learner Tien pada aksi suku akhir, hari ini.
- Zverev mara ke separuh akhir selepas menewaskan Learner Tien dalam perlawanan suku akhir yang sengit.
- Beliau bergantung pada servis kuat, mencatat 24 ace untuk mengawal perlawanan dan mengatasi tentangan Tien.
- Zverev berazam menjuarai Grand Slam pertama pada usia 28 tahun selepas tewas di final tahun lalu.
Zverev menang dengan keputusan 6-3, 6-7, 6-1, 7-6 dan akan bertemu sama ada pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz, atau wakil tuan rumah, Alex de Minaur, bagi merebut tempat ke perlawanan akhir di Melbourne.
Pemain Jerman berstatus nombor tiga dunia itu kini berazam untuk merangkul gelaran Grand Slam pertamanya pada usia 28 tahun, selepas tewas menentang Jannik Sinner dalam perlawanan akhir tahun lalu.
“Tanpa ace, saya mungkin tidak akan menang hari ini. Saya amat berpuas hati dengan servis saya.
“Permainan Learner dari garisan belakang gelanggang sangat luar biasa. Cara dia bermain memang mengagumkan,” kata Zverev, yang melakukan 24 ace pada perlawanan tersebut.
Dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Rod Laver Arena, hari ini menyaksikan Zverev memulakan perlawanan dengan lebih baik apabila berupaya mematahkan servis Tien untuk mendominasi set pertama.
Tien dilihat memberikan tentangan sengit dalam set kedua.
Dengan kedua-dua pemain menampilkan servis mantap, set tersebut ditentukan menerusi tiebreak yang menyaksikan Zverev mendahului 5-3.
Bagaimanapun, Tien enggan mengalah apabila mempertahankan permainannya dengan cemerlang sebelum bangkit menyamakan kedudukan perlawanan.
Pemain Amerika itu tetap tidak mampu mengekang servis lawan yang konsisten, apabila Zverev mendahului 5-1 pada set ketiga sebelum menamatkan saingan tersebut dalam masa hanya 28 minit.
Tien kembali mengumpul fokus dalam set keempat dan memperoleh kedudukan 6-5 namun Zverev berjaya keluar daripada tekanan sebelum memaksa satu lagi aksi tiebreak.
Pada aksi tersebut, Zverev berjaya melakukan servis dengan baik sekali gus mengesahkan kemenangan dan mara ke separuh akhir. – REUTERS