
MELBOURNE, 18 Januari – Pemain tenis nombor tiga dunia, Alexander Zverev, meluahkan rasa lega selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Australia.
- Zverev bangkit selepas tewas set pertama untuk menang 6-7, 6-1, 6-4, 6-2 ke atas Gabriel Diallo.
- Kemenangan itu sambung rekod 10 kali berturut-turut mara pusingan kedua Terbuka Australia.
- Zverev anggap hasil ini petanda positif, membuktikan kebolehan diuji dan meningkat ketika detik mencabar.
Pemain dari Jerman itu, yang tewas pada aksi final kepada Jannik Sinner tahun lalu, menewaskan pemain Kanada ranking ke-41 dunia, Gabriel Diallo, 6-7 (1-7), 6-1, 6-4, 6-2 dalam perlawanan pusingan pertama di Rod Laver Arena.
Kemenangan tersebut memastikan Zverev mara ke pusingan kedua di Melbourne Park buat kali ke-10 berturut-turut, ketika beliau berusaha mencabar dominasi Sinner dan pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz, yang telah berkongsi lapan gelaran Grand Slam terakhir.
Namun, Zverev mengakui beliau terpaksa bekerja keras untuk menundukkan Diallo, 24, yang tampil dengan prestasi meyakinkan selepas memenangi gelaran ATP pertamanya tahun lalu.
“Dia pemain yang hebat, masih muda, sangat berbakat dan memiliki pukulan yang bertenaga,” kata Zverev.
“Pada permulaan perlawanan, saya tidak bermain dengan baik, memberi terlalu banyak peluang dan terlalu bertahan. Tetapi saya gembira dengan cara saya bermain pada set kedua, ketiga dan keempat kerana tahap permainan saya agak tinggi,” tambahnya.
Menurut Zverev, kemenangan itu memberi petanda positif terhadap tahap prestasinya ketika berdepan situasi sukar.
“Ia sesuatu yang positif kerana anda telah diuji dan tahu di mana kedudukan serta tahap permainan anda, terutamanya dalam detik-detik mencabar,” katanya.
Zverev bermula hambar apabila kehilangan servis awal dan ketinggalan 1-4 pada set pertama, bergelut menghadapi servis kencang Diallo. Pemain Kanada itu hampir mendahului 5-2 selepas mendahului 40-0 pada servis sendiri, namun Zverev bangkit untuk menyamakan kedudukan 4-4.
Zverev turut menyelamatkan satu mata set ketika ketinggalan 4-5 sebelum set pertama diheret ke tiebreak, yang dikuasai sepenuhnya oleh Diallo.
Bagaimanapun, Zverev kembali bertenaga pada set kedua dengan mendahului 4-0 hasil dua break berturut-turut sebelum menamatkan set itu dalam masa 31 minit.
Beliau memperoleh break penting pada set ketiga ketika Diallo melakukan kesilapan pukulan forehand, sebelum terus menguasai perlawanan apabila jumlah kesilapan lawannya meningkat.
Satu lagi break awal pada set keempat memastikan kemenangan berpihak kepada Zverev.
Sebagai ganjaran, Zverev dijadual berdepan sama ada pemain Australia ranking ke-49 dunia, Alexei Popyrin, atau pemain Perancis ranking ke-50, Alexandre Muller, pada pusingan kedua.
Zverev menamatkan musim 2025 dengan hanya satu gelaran, di Munich, selepas dibelenggu kecederaan, namun masih menutup musim sebagai pemain nombor tiga dunia di belakang Alcaraz dan Sinner.
Sekiranya berjaya menjulang gelaran di Melbourne pada penampilan Grand Slam ke-40 beliau, Zverev bakal menduduki tempat kedua dalam era Terbuka sebagai pemain yang paling banyak mencuba sebelum memenangi gelaran Grand Slam.
Rekod tersebut ketika ini dipegang oleh Goran Ivanisevic, yang menjuarai Wimbledon pada tahun 2001 selepas percubaan ke-48.- AFP