Yu Jing idam perbaharui rekod kebangsaan 50M gaya bebas

Reaksi perenang negara, Tong Yu Jing selepas meraih tempat ketiga dalam acara 100 meter gaya bebas pada Kejohanan Renang Umur Berkumpulan Malaysia 2026, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Perenang muda kebangsaan, Tong Yu Jing berhasrat memperbaharui rekod kebangsaan 50 meter (m) gaya bebas lelaki miliknya yang dicipta di Sukan SEA 2025 Thailand Disember lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berhasrat memperbaharui rekod kebangsaan 50m gaya bebas yang dicapai pada Sukan SEA 2025.
  • Menyasarkan peningkatan kira-kira 0.1 saat melalui penambahbaikan teknik.
  • Berpuas hati dengan permulaan musim walau tidak puas hati dengan prestasi hari ini.
  • Baru minggu ketiga kembali berlatih selepas Sukan SEA, melihat kejohanan sebagai langkah positif.

Tanpa menetapkan sasaran spesifik, atlet berusia 20 tahun yang menamatkan kemarau pingat negara dalam acara berkenaan di temasya dwitahunan itu menerusi catatan 22.48 saat (s) bertekad memperkemas teknik bagi mencatat masa lebih pantas pada kejohanan akan datang tahun ini.

“Saya sedang berusaha memperbaiki catatan masa. Jika dapat mencatat masa sekurang-kurangnya 0.1 saat lebih baik, itu sudah memadai,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) di sini hari ini.

Terdahulu, Yu Jing menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara 50m gaya bebas lelaki pada Kejohanan MIAG selepas mencatat masa 23.56s.

Emas dimenangi perenang Indonesia Jason Donovan Yusuf dengan catatan masa 23.27s, manakala To Siu dari Hong Kong meraih perak selepas mencatat 23.37s.

Dalam pada itu, Yu Jing mengakui beliau tidak berpuas hati dengan renangannya hari ini, namun menganggap ia sebagai permulaan positif bagi musim baharu.

“Keputusan ini bukan seperti yang saya harapkan, namun memandangkan ini baru minggu ketiga saya kembali menjalani latihan selepas Sukan SEA, saya rasa ini sudah agak memuaskan,” katanya. -BERNAMA