
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sokongan penuh terhadap badan induk itu dalam usaha menamatkan penantian 34 tahun negara untuk kembali menjulang Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992 di Kuala Lumpur.
- Sokongan penuh Wan Azizah kepada BAM dalam usaha menamatkan kemarau Piala Thomas sejak 1992.
- Lawatan beliau ke Akademi Badminton Malaysia memberi suntikan moral kepada pemain dan jurulatih.
- Perbincangan tumpu mendapatkan sokongan sektor swasta untuk kukuhkan kedudukan kewangan BAM.
- Wan Azizah berjanji memberi sokongan dan bimbingan untuk capai sasaran serta nilai betul dalam pasukan.
Sokongan tersebut disampaikan menerusi lawatan beliau ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini bagi bertemu pemain serta jurulatih kebangsaan selain menerima taklimat pengurusan dan Ahli Majlis BAM mengenai perancangan serta hala tuju pasukan negara.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kehadiran isteri Perdana Menteri itu memberi suntikan moral kepada skuad kebangsaan yang kini dalam fasa akhir persiapan menghadapi beberapa kejohanan utama tahun ini termasuk kempen Piala Thomas.
“Beliau menyatakan sokongan penuh dan komitmen untuk membantu BAM mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke ABM di ibu negara.
Menurut beliau, perbincangan turut memberi tumpuan kepada keperluan mendapatkan lebih banyak sokongan sektor swasta bagi memperkukuh kedudukan kewangan BAM dan memastikan kelangsungan program pembangunan serta persiapan pasukan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita ada berbincang mengenai kos operasi dan jangkaan untuk mendapatkan lebih sokongan daripada sektor swasta. Penaung menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan dan bimbingan supaya kita bukan saja capai sasaran, malah memastikan nilai yang betul diterapkan dalam kalangan pemain dan pengurusan.” katanya lagi.