
VERONA, 7 Mac – Tirai Sukan Paralimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026 dibuka secara rasmi dengan upacara perasmian penuh gilang-gemilang di Arena Verona, mengangkat tema keunikan serta keterangkuman komuniti orang kurang upaya (OKU).
- Barisan artis OKU tampil dalam persembahan berirama; atlet ditempatkan di barisan hadapan direka khas untuk kerusi roda.
- Beatrice 'Bebe' Vio membawa obor; kawah Paralimpik dinyalakan serentak di Milan dan Cortina.
- Keputusan IPC membenarkan Rusia dan Belarus bertanding mencetuskan boikot perarakan; enam negara Eropah menyertai Ukraine sebagai solidariti.
- Temasya dari 6 hingga 15 Mac mencatat 611 atlet, 79 acara, enam disiplin; debut curling kerusi roda beregu campuran dan lima negara baharu.
Upacara bersejarah bersempena ulang tahun ke-50 temasya tersebut menyaksikan penglibatan aktif barisan artis OKU dalam persembahan berirama, manakala para atlet ditempatkan di barisan hadapan yang direka khas untuk kemudahan kerusi roda.
Kemuncak acara menyaksikan pemenang pingat emas dua kali Paralimpik, Beatrice ‘Bebe’ Vio, membawa masuk obor ke dalam arena berusia 2,000 tahun itu, sebelum kawah Paralimpik dinyalakan secara serentak di Milan dan Cortina.
Walau bagaimanapun, temasya kali ini dibayangi oleh krisis geopolitik global.
Keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pada September lalu membenarkan Rusia dan Belarus bertanding di bawah simbol kebangsaan masing-masing telah mencetuskan boikot perarakan oleh beberapa buah negara.
Enam negara Eropah telah menyertai Ukraine dalam tindakan boikot tersebut sebagai tanda solidariti terhadap Kyiv.
Selain itu, konflik bersenjata Amerika Syarikat-Israel pada minggu lalu turut memberi impak langsung apabila atlet tunggal Iran dilaporkan terpaksa menarik diri daripada temasya ini atas faktor keselamatan perjalanan.
Temasya yang berlangsung dari 6 hingga 15 Mac ini mencatatkan rekod penyertaan seramai 611 atlet bakal bersaing dalam 79 acara pingat melibatkan enam disiplin sukan.
Edisi kali ini turut melakar sejarah dengan kemunculan sulung acara curling kerusi roda beregu campuran serta penyertaan pertama kali oleh lima buah negara iaitu El Salvador, Haiti, Montenegro, Macedonia Utara dan Portugal.