
KUALA LUMPUR, 6 April – Skuad bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan kempen musim 2026 dengan cemerlang apabila melakar kejutan besar menjuarai kejohanan Thanh Nien International Student Football Tournament 2026 (Piala THACO).
- UKM menumpaskan tuan rumah dan juara bertahan Universiti Thuy Loi menerusi penentuan penalti 7-6 selepas seri 1-1.
- Afiq Norizan membuka jaringan pada minit ke-25 sebelum lawan menyamakan kedudukan.
- Tujuh pemain UKM masing-masing berjaya meledak gol dalam aksi penentuan penalti.
- Penjaga gol Adam Haris Herman menjadi wira selepas menepis sepakan penalti terakhir pihak lawan.
Dalam aksi final yang berlangsung sengit di Vietnam, UKM berjaya menumbangkan pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan, Universiti Thuy Loi, menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat tempoh permainan sebenar.
Terdahulu, UKM berjaya mendapatkan jaringan awal menerusi Afiq Norizan pada minit ke-25, sebelum pasukan lawan bangkit menyamakan kedudukan sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Tujuh pemain UKM, Aiyubi Nasarudin, Alif Irfan Norsafidahlan, Haris Zafri Hashim, Akmal Afnan Shahridzan, Amirul Fazly Mohd Zamri, Amir Hazman Hanapiah, dan Harith Hizamin M. Dasuki masing-masing berjaya meledak gol pada aksi tersebut.
Penjaga gol UKM, Adam Haris Herman menjadi tumpuan pada aksi tersebut apabila dapat menepis sepakan penalti terakhir pihak lawan.
Kejayaan tersebut turut mencerminkan semangat juang tinggi dan disiplin luar biasa skuad universiti berkenaan dalam menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.
Kemenangan itu juga menjadi amaran awal buat pencabar lain bagi saingan musim ini.