
KAJANG, 8 Februari – Harapan pelumba kart muda negara, Zarif Raykal untuk meraih tiket automatik ke Kejuaraan Dunia IAME Final lebur di garisan penamat apabila tewas tipis dalam aksi final kategori senior pada Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026, hari ini.
- Zarif Raykal tewas tipis dan gagal raih tiket automatik ke Kejuaraan Dunia IAME Final.
- Masalah cengkaman belakang pada pusingan akhir menjejaskan prestasinya.
- Andrea Galimberti dari Itali memintas dan muncul juara kategori senior.
- Kejuaraan melibatkan 106 pelumba dari 15 negara dengan empat kategori dipertandingkan.
Walaupun mempamerkan aksi kompetitif dan sempat mendahului sebahagian perlumbaan, masalah cengkaman jentera pada pusingan akhir menjejaskan rentaknya, sekali gus membuka ruang kepada pelumba Itali, Andrea Galimberti, memintas untuk muncul juara.
Pelumba berusia 15 tahun itu yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua tetap berbangga dengan pencapaiannya, namun mengakui sedikit kecewa kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Dalam final saya bermula dengan baik dan kelajuan juga memuaskan, tetapi pada beberapa pusingan terakhir cengkaman belakang hilang sepenuhnya. Pasukan memaklumkan situasi itu dan saya tidak mampu mengekalkan kedudukan, namun saya tetap berpuas hati dengan perlumbaan ini,” kata beliau selepas majlis penyampaian hadiah di Litar Karting Antarabangsa LYL, di sini hari ini.
Kejuaraan itu menyaksikan persaingan sengit membabitkan 106 pelumba dari 15 negara, termasuk 22 wakil Malaysia, dengan empat kategori dipertandingkan iaitu Cadet, Junior, Senior dan Master.
Dalam kategori senior, Andrea Galimberti muncul juara, diikuti Zarif Raykal di tempat kedua manakala Dillan Tan dari Singapura di kedudukan ketiga.
Kategori Master dimenangi Takeharu Nakamori dari Jepun, diikuti Luke Armstrong dari Australia dan Werasak Aiemwichan dari Thailand.
Sementara itu, kategori Cadet menyaksikan Syabil Umar Basalamah dan Darren Arthur Gani dari Indonesia menguasai dua kedudukan teratas dengan Max Schilling dari Hong Kong di tempat ketiga.