
MELBOURNE, 31 Januari– Novak Djokovic menegaskan beliau tidak pernah berhenti mempercayai keupayaannya untuk terus bersaing di tahap tertinggi tenis dunia, sambil menyindir pengkritik yang sering menggesanya bersara.
- Djokovic kekal yakin dan tolak desakan bersara walaupun sering diragui pengkritik.
- Kemenangan lima set menewaskan Jannik Sinner bawa dia ke final Terbuka Australia menentang Carlos Alcaraz.
- Dia buru Grand Slam ke-25 dan tekankan kejayaan bukan sekadar nasib meskipun mendapat dua walkover awal.
Djokovic berkata demikian selepas menewaskan Jannik Sinner pada aksi separuh akhir Terbuka Australia awal pagi Sabtu (31 Januari).
Pemain berusia 38 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan juara bertahan dua kali itu dalam perlawanan lima set yang mendebarkan, sekali gus mengesahkan tempat ke perlawanan akhir menentang Carlos Alcaraz.
Kejayaan itu turut membuka peluang buat Djokovic meraih kejuaraan Grand Slam pertamanya sejak September 2023.
“Saya tidak pernah berhenti percaya pada diri sendiri. Ramai yang meragui saya. Tiba-tiba muncul ramai ‘pakar’ yang mahu saya bersara atau telah bersara saya berkali-kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka semua kerana mereka memberi saya kekuatan dan motivasi untuk membuktikan mereka salah, seperti yang saya lakukan malam ini. Bagi saya, ini bukan satu kejutan kerana saya tahu kemampuan diri saya,” katanya kepada pemberita.
Djokovic yang memburu kejuaraan Grand Slam ke-25 untuk mencipta rekod baharu, mengakui beliau bernasib baik apabila menerima dua kemenangan walkover pada pusingan awal, namun menegaskan kejayaannya ke atas Sinner bukan hasil tuah semata-mata. -REUTERS