
KUALA LUMPUR, 17 Februari– Sambutan Tahun Baharu Cina membawa ‘ong’ atau tuah sepanjang tahun tetapi bagi pemain pingpong wanita negara, Alice Chang makna perayaan kali ini lebih terarah kepada satu perkara iaitu rehat yang berkualiti.
- Gunakan cuti seminggu untuk rehat berkualiti selepas musim padat latihan dan kejohanan.
- Rehat mental dan fizikal penting untuk mengekalkan momentum prestasi jangka panjang.
- Tumpuan kini pada Kejohanan Berpasukan Dunia di London, persediaan untuk melangkah lebih jauh.
Selepas melalui musim padat dengan latihan dan kejohanan, Alice mengakui tahun 2026 memberi sedikit kelonggaran apabila ketiadaan temasya besar seperti Sukan SEA membuka ruang untuk pemain menikmati cuti lebih panjang berbanding kebiasaan.
Menurutnya, situasi itu cukup berbeza berbanding tahun lalu yang menuntut komitmen tinggi menjelang kejohanan di Thailand sehingga sambutan perayaan terasa lebih singkat dan terhad.
“Disebabkan tahun ini tiada Sukan SEA, jadi jurulatih memberi kami cuti selama seminggu dan masa ini akan digunakan untuk berehat,” katanya.
Tambahnya, rehat mental dan fizikal amat penting bagi memastikan momentum prestasi dapat dikekalkan sepanjang musim.
Menurutnya, tumpuan bersama skuad negara kini terarah kepada Kejohanan Berpasukan Dunia di London pada hujung April hingga Mei depan.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan 12 bersama Amerika Syarikat, Tahiti dan Republik Dominica dengan hanya dua pasukan terbaik bakal mara ke pusingan kalah mati.
Selepas terkandas di pusingan 32 pada edisi lalu, cabaran kali ini hadir dengan tekad baharu memanfaatkan rehat awal musim sebagai ‘modal’ untuk tampil lebih mantap di pentas dunia.