
KUALA LUMPUR, 11 APRIL – Meskipun berdepan cabaran semasa termasuk ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos operasi namun persiapan menghadapi Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) 2026 di Pulau Pinang pada Oktober ini tetap berjalan mengikut perancangan.
- Pencapaian penyertaan mencukupi: enam negara termasuk Malaysia mengesahkan penyertaan, memenuhi syarat penganjuran antarabangsa.
- Kenaikan harga minyak menjejaskan pengurusan dan logistik, pihak penganjur memanfaatkan platform digital untuk langkah lebih berhemah.
- Kemungkinan pengurangan skala temasya jika konflik Asia Barat berlanjutan; jumlah atlet dan acara mungkin dikurangkan tetapi temasya tetap diteruskan.
- Semua venue di Pulau Pinang dikenal pasti, persiapan teknikal memuaskan dan menunggu pengesahan akhir daripada negara peserta.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr Ong Shin Ruenn memaklumkan setakat ini sekurang-kurangnya lima negara telah mengesahkan penyertaan termasuk Taiwan dan Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Macau sekali gus memenuhi syarat minimum penganjuran temasya sukan pekak antarabangsa.
“Buat masa sekarang lima negara telah sahkan penyertaan, termasuk Malaysia menjadikan keseluruhan enam negara. Ini sudah mencukupi untuk kita teruskan penganjuran mengikut peraturan sukan antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri MSDeaf di ibu negara.
Dalam pada itu, Dr Ong mengakui faktor kenaikan harga minyak turut memberi kesan kepada aspek pengurusan dan logistik, namun pihaknya mengambil pendekatan lebih berhemah dengan memanfaatkan platform digital.
Mengulas kemungkinan impak konflik di Asia Barat terhadap skala temasya, beliau tidak menolak berlakunya pengurangan dari segi jumlah penyertaan dan acara.
“Sekiranya situasi berlarutan, kita mungkin perlu mengecilkan skala penganjuran termasuk jumlah atlet dan acara, namun temasya tetap akan diteruskan selagi memenuhi syarat minimum,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman penganjuran terdahulu turut dijadikan panduan dalam merangka perancangan lebih fleksibel dan realistik.
Dari sudut logistik, semua venue di Pulau Pinang telah dikenal pasti, manakala persiapan teknikal berada pada tahap memuaskan dan hanya menunggu pengesahan akhir daripada negara peserta.