Sukan Komanwel menuju abad ke-100 dengan cabaran besar

Maskot rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026, ‘Finnie’ / AFP

GLASGOW, 3 Ogos- Sukan Komanwel Glasgow 2026 melabuhkan tirainya pada Ahad, namun persoalan mengenai masa depan temasya itu terus menjadi perhatian menjelang edisi ke-100 di Ahmedabad, India pada 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Glasgow menyelamatkan penganjuran 2026 selepas Victoria menarik diri, dengan model lebih kecil menggunakan fasiliti sedia ada mengurangkan kos kepada kira-kira £160 juta.
  • Kelangsungan sukan diragui kerana sukar cari tuan rumah, kos tinggi, kurang penyertaan atlet ternama dan kehadiran penonton lebih sederhana.
  • Walaupun cabaran, Commonwealth Sport optimis; beberapa negara menunjukkan minat menjadi tuan rumah dan temasya terus penting melahirkan bintang baharu.

Glasgow tampil menyelamatkan edisi 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai tuan rumah pada 2023 berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kos penganjuran.

Bandar raya Scotland itu yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2014 menawarkan model penganjuran lebih kecil dengan menggunakan kemudahan sedia ada, sekali gus mengurangkan kos kepada kira-kira £160 juta (RM907 juta), berbanding £780 juta ketika Birmingham menganjurkan temasya itu pada 2022.

Namun, kejayaan penganjuran edisi Glasgow 2026 belum dapat menghapuskan kebimbangan terhadap kelangsungan Sukan Komanwel dalam jangka panjang.

Antara cabaran utama yang dihadapi temasya itu termasuk kesukaran mendapatkan tuan rumah baharu, kos penganjuran yang tinggi serta minat atlet ternama yang semakin berkurangan.

Sukan Komanwel sebelum ini turut berdepan perubahan tuan rumah apabila Durban, Afrika Selatan menarik diri sebagai penganjur edisi 2022 sebelum Birmingham mengambil alih.

Ketua Pegawai Eksekutif Commonwealth Sport, Katie Sadleir, bagaimanapun yakin masa depan temasya itu masih cerah dengan beberapa negara menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah bagi edisi akan datang termasuk New Zealand untuk 2034 dan seterusnya.

Ahmedabad dipilih sebagai tuan rumah edisi ke-100 Sukan Komanwel pada 2030, dengan program pertandingan dijangka kembali diperluaskan kepada antara 15 hingga 17 sukan selepas Glasgow 2026 menggunakan format lebih kecil membabitkan 10 sukan.

Selain menjadi medan persaingan atlet elit, Sukan Komanwel terus dianggap sebagai platform penting untuk melahirkan bintang baharu serta memberi peluang kepada negara dan wilayah kecil mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Juara lompat kijang Olimpik Dominica, Thea LaFond menyifatkan temasya itu sebagai ruang penting untuk negara kecil menyerlah dalam arena sukan dunia.

Edisi Glasgow 2026 menyaksikan Australia mendominasi kedudukan pingat dengan lebih 171 pingat termasuk 70 emas, diikuti England, Kanada dan India.

Bagaimanapun, ketiadaan beberapa atlet ternama termasuk pelari Britain Keely Hodgkinson, juara 100 meter Olimpik wanita Julien Alfred dari Saint Lucia dan perenang Kanada Summer McIntosh menjejaskan daya tarikan temasya berkenaan.

Jumlah kehadiran penonton juga tidak setanding edisi Glasgow 2014 apabila bandar itu merekodkan jualan kira-kira 1.3 juta tiket, manakala edisi kali ini berdepan suasana lebih sederhana dengan beberapa tempat duduk tidak dipenuhi.

Walaupun Glasgow berjaya memastikan Sukan Komanwel 2026 berlangsung, masa depan temasya yang diasaskan sebagai British Empire Games pada 1930 itu masih bergantung kepada keupayaannya menyesuaikan diri dengan landskap sukan moden. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.