Skuad hoki negara persiap hadapi kelayakan Piala Dunia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Febuari Skuad hoki lelaki kebangsaan tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri apabila memulakan sesi latihan pertama sebaik tiba di bumi Mesir, sebagai langkah awal menghadapi cabaran getir kelayakan Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan awal di Mesir fokus kepada penilaian cuaca, kelajuan angin dan permukaan turf berbeza untuk cepat menyesuaikan diri.
  • Jurulatih tekankan intensiti permainan, struktur taktikal dan komunikasi bagi memastikan keserasian pasukan maksimum.
  • Skuad dalam Kumpulan B dengan aksi menentang Austria, Pakistan dan China; dua teratas layak ke separuh akhir.

Latihan yang berlangsung di Suez Canal Authority Stadium itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan pemain menilai keadaan cuaca, kelajuan angin serta permukaan turf yang berbeza daripada di tanah air.

Barisan kejurulatihan turut memberi penekanan terhadap intensiti permainan, struktur taktikal dan komunikasi di atas padang bagi memastikan keserasian berada pada tahap terbaik.

Pasukan Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China dan Austria.

Skuad negara akan membuka kempen menentang Austria pada 1 Mac, diikuti Pakistan keesokan hari sebelum menutup aksi kumpulan bertemu China pada 4 Mac.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir, manakala perlawanan akhir bakal menjadi penentu tiket ke Piala Dunia.

Sebagai persiapan tambahan sebelum aksi kompetitif bermula, dua perlawanan persahabatan turut diatur menentang tuan rumah Mesir dan Jepun.

Aksi pemanas badan itu dijangka menjadi medan penting untuk menguji kombinasi terbaik serta menilai tahap kesiapsiagaan pemain.

Dengan jadual padat dan persaingan sengit menanti, penyesuaian awal di Ismailia dilihat menjadi kunci dalam misi skuad negara memburu tempat ke pentas dunia.