
SEPANG, 26 Januari – Pasukan Selangor Red Giants Esports (SRG), beri jaminan akan melakukan ‘comeback’ lebih kuat dan hangat selepas menamatkan kempen Kejohanan Dunia M7 di Jakarta dengan pencapaian tempat ketiga keseluruhan.
Pembantu Jurulatih SRG, Poon Kok Sing berkata, kekalahan di peringkat akhir ‘lower bracket’ menjadi pengalaman paling perit buat pasukan, namun ia akan dijadikan pembakar semangat untuk kembali lebih bersedia pada kejohanan akan datang.
“Kekalahan ini antara yang paling menyedihkan dan menghancurkan buat saya. Kami pasti akan ambil sedikit masa untuk berehat, kemudian kembali dengan lebih hangat dan semangat untuk menang,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA sejurus tiba di tanahair di sini hari ini.
Menurut beliau, SRG sebenarnya memulakan saingan M7 dengan prestasi yang sangat meyakinkan apabila berjaya menewaskan beberapa pasukan pilihan.
Termasuk, mencatat kemenangan penting ke atas Team Liquid Philippines (TLPH), selain memberi saingan sengit kepada Alter Ego sehingga hampir mara ke pentas final.
Bagaimanapun, beliau mengakui kegagalan melangkah ke perlawanan akhir berpunca daripada kelemahan persiapan pasukan menjelang aksi final ‘lower bracket’.
“Dari segi persediaan keseluruhan, kami tidak membuat persiapan yang cukup baik. Banyak kesilapan berlaku dan itu tanggungjawab pihak kejurulatihan. Pemain sebenarnya mampu untuk menang,” katanya.
Tambah belaiu, masalah yang dihadapi bukan sekadar melibatkan aspek ‘drafting’, sebaliknya kegagalan merangka strategi menyeluruh yang lebih kemas.
“Ia bukan hanya tentang draft, sebaliknya dari segi perancangan dan strategi, kami sepatutnya boleh buat lebih baik supaya pemain dapat bermain dengan lebih selesa.”
Mengulas masa depan pasukan, beliau menegaskan SRG akan terus kekal dalam ekosistem MPL selepas berjaya mengesahkan slot perkongsian, namun sebarang keputusan mengenai barisan pemain masih menunggu pengesahan rasmi.
“SRG akan terus berada dalam MPL, cuma untuk barisan pemain, kami masih menunggu keputusan muktamad. Pengumuman akan dibuat kemudian.”
Beliau memaklumkan pengesahan barisan pemain bagi musim dan kejohanan akan datang, termasuk kejohanan pada April, dijangka diketahui dalam tempoh satu hingga dua bulan.
SRG menutup kempen M7 dengan kedudukan ketiga dunia, namun mesej yang dibawa jelas, pasukan ini belum selesai dan bersedia untuk kembali lebih kuat.