Soh Wai Ching lakar rekod MBOR di Exchange 106

Atlet larian menara negara dan juara dunia, Soh Wai Ching bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching selepas kejayaan memecahkan rekod MBOR/RTM

KUALA LUMPUR, 14 Januari – Atlet larian menara negara dan juara dunia, Soh Wai Ching, melakar sejarah baharu apabila berjaya menamatkan pendakian di The Exchange 106 bersempena dengan Hari Tangga Sedunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Soh Wai Ching berjaya tamatkan pendakian 2,228 anak tangga di Exchange 106 dalam masa 13 minit, diiktiraf MBOR.
  • Cabaran lebih sukar kerana MBOR menuntut catatan kurang daripada 14 minit untuk pengiktirafan.
  • Beliau menyasarkan untuk memecahkan enam rekod MBOR tahun ini dan akan sambung cabaran di Dubai.
  • Timbalan Menteri Teo Nie Ching puji pencapaian dan tekankan perkaitan acara dengan kesedaran kesihatan awam.

Pendakian sebanyak 2.228 anak tangga  dalam masa 13 minit membolehkannya diiktiraf sebagai rekod Malaysia Book of Records (MBOR).

Menurut Wai Ching, cabaran kali ini jauh lebih sukar memandangkan Malaysia Book Of Record (MBOR) menetapkan penanda aras iaitu kurang daripada 14 minit untuk diiktiraf sebagai rekod.

Meskipun telah menyertai 188 kejohanan larian menara sebelum ini, beliau mengakui cubaan rekod MBOR tersebut antara yang paling mencabar dalam kariernya.

“Rekod MBOR ini memang bukan senang. Catatan 14 minit ke bawah itu sangat sukar untuk saya.

“Sampai tingkat 57  iaitu separuh jalan sudah 7 minit lebih, jadi saya kena kerah tenaga dan terus berjuang sehingga tamat.

“Masa mendaki, saya asyik fikirkan tentang isteri dan anak saya. Saya cakap pada diri sendiri, hari ini saya kena buat. Kalau bukan saya, siapa lagi,” katanya.

Dalam pada itu, pelari nombor satu dunia itu menyasarkan untuk mencipta enam rekod Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun ini.

Soh Wai Ching menyasarkan untuk memecahkan enam rekod MBOR tahun ini/RTM

Beliau kini bersedia menyambung cabaran di Dubai pada 31 Januari, kejohanan yang telah dimenanginya lima kali sebelum ini.

“Saya nak cabar rekod kejohanan, sebab saya belum lagi memecahkan rekod kejohanan. Jadi, saya akan kembali ke setiap kejohanan sehingga saya dapat memecahkan rekod tersebut” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang turut melepaskan acara berkenaan menyifatkan pencapaian Wai Ching sebagai satu pencapaian yang luar biasa.

“Pertamanya, saya nak ucap tahniah dan syabas kepada Wai Ching, atlet larian menara dan juara dunia kita, kerana merekodkan satu rekod baharu di TRX 106.

“Catatan 13 minit ini adalah satu rekod yang amat mengagumkan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Hari Tangga Sedunia sebagai platform mencipta rekod menjadikan acara tersebut lebih bermakna, khususnya dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan awam di negara ini.

“Kita semua tahu bahawa obesiti adalah satu isu yang sangat serius di Malaysia. Lebih daripada 60 peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah obesiti, dan pada masa sama, penyakit tidak berjangkit atau NCD telah melibatkan kos rawatan yang sangat tinggi, mencecah RM64 bilion.

“Selain makanan sihat, gaya hidup aktif sangat penting. Sebenarnya, ada satu aktiviti yang sangat sederhana, tidak mengambil banyak masa dan tidak memerlukan kos tinggi, iaitu naik tangga,” katanya yang ditemui media di sini.