Skuad renang, terjun negara bakal diperkuat jurulatih import bertaraf dunia

Setiausaha Agung Akuatik Malaysia (MAS), Andy Low/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Skuad renang dan terjun negara bakal diperkuatkan dengan kehadiran jurulatih import bertaraf dunia apabila tiga jurulatih dari Rusia, China serta seorang dari Amerika Syarikat akan menyertai program kebangsaan dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad renang dan terjun akan diperkuatkan dengan jurulatih import dari Rusia, China dan Amerika Syarikat.
  • Jurulatih terbabit adalah bekas atlet Olimpik dan pemenang pingat di peringkat antarabangsa.
  • Matlamat kehadiran mereka ialah meningkatkan kualiti latihan dan pencapaian minimum atlet negara.
  • Pengumuman rasmi menunggu ketibaan jurulatih, selepas bekas jurulatih Eric Anderson tidak disambung perkhidmatan.

Setiausaha Agung Akuatik Malaysia (MAS), Andy Low memaklumkan jurulatih terbabit merupakan bekas atlet Olimpik dan pernah memenangi pingat di pentas antarabangsa.

“Untuk terjun, kita tambah dua jurulatih dari Rusia dan satu daripada China. Untuk renang pula, satu jurulatih dari USA dan satu tambahan jurulatih tempatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara, di sini.

Beliau berkata kehadiran jurulatih berpengalaman itu penting bagi meningkatkan kualiti latihan serta pencapaian minimum atlet negara.

“Ya, kedua-duanya adalah produk Olympian dan pernah memenangi pingat. Ini penting untuk bantu atlet kita capai tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas jurulatih berkenaan tiba di Malaysia.

Terdahulu, bekas jurulatih skuad renang kebangsaan, Eric Anderson mencapai kata sepakat bersama MAS untuk tidak menyambung perkhidmatannya yang berakhir pada 31 Disember 2025.

Tugasan terakhir Anderson adalah pada Sukan Sea 2025 di Thailand yang menyaksikan skuad renang negara meraih dua emas, tiga perak dan lima gangsa.