
LIKAS, 10 Januari – Sabah FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas terikat 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
- Perlawanan berakhir seri 1-1 antara Sabah FC dan KL City di Stadium Likas.
- Safawi Rashid buka mata untuk KL City pada awal babak kedua.
- Ajdin Mujagic menyamakan kedudukan untuk Sabah pada minit ke-67.
- Jurulatih kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata walau rasa layak menang.
Pada perlawanan itu, pasukan pelawat lebih banyak menguasai permainan terutama pada separuh masa pertama dalam usaha memburu gol awal, namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehingga tamat babak pertama.
KL City terlebih dahulu berada di hadapan seawal babak kedua apabila Safawi Rashid menjaringkan gol pembukaan untuk pasukan pelawat.
Bagaimanapun, Sabah FC bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi penyerang import, Ajdin Mujagic, sekali gus memastikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Pemangku Ketua Jurulatih Sabah FC, Alto Linus, berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya dan percaya pasukan tuan rumah layak meraih kemenangan.
“Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan persembahan malam ini. Dengan prestasi yang ditunjukkan, sepatutnya kami layak memenangi perlawanan, namun itulah bola sepak dan kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City, Risto Vidakovic, mengakui berpuas hati dengan satu mata yang diraih walaupun pasukannya berdepan kesukaran beraksi di atas padang yang tidak memihak kepada corak permainan mereka.
“Keadaan padang dan cuaca menyukarkan kami untuk bermain bola sepak hantaran seperti yang kami inginkan. Namun saya rasa pasukan saya mencipta peluang mencukupi dan layak memperoleh lebih daripada satu mata,” katanya.
Bagi aksi seterusnya, Sabah FC dijadual menentang Kelantan The Real Warriors FC pada 13 Januari di Stadium Sultan Muhammad IV, manakala KL City akan berdepan Penang FC pada 14 Januari di Stadium Kuala Lumpur.