
MADRID, 19 Februari- Real Madrid telah menyerahkan semua bukti yang ada kepada UEFA bagi menyokong aduan bintang Brazil mereka, Vinicius Junior mengenai perbuatan perkauman ketika perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara menentang Benfica minggu ini.
- Real Madrid menyerahkan semua bukti kepada UEFA untuk menyokong aduan Vinicius terhadap dakwaan penghinaan perkauman.
- Perlawanan dihentikan 10 minit selepas Vinicius mendakwa pemain Benfica memanggilnya "monyet".
- Benfica dan Prestianni menafikan tuduhan; Mourinho mempertikaikan cara sambutan gol Vinicius.
Perlawanan pertama pusingan kalah mati pada Selasa di Lisbon dihentikan selama 10 minit selepas Vinicius memberitahu pengadil bahawa pemain Benfica, Gianluca Prestianni telah memanggilnya “monyet”.
Pemain tengah Argentina itu yang menutup mulutnya semasa pertikaian selepas Vinicius meraikan gol, menafikan tuduhan tersebut.
UEFA mengumumkan akan menyiasat tuduhan tingkah laku diskriminasi, manakala rakan sepasukan Vinicius segera menyokongnya susulan pemain itu telah beberapa kali menjadi mangsa perkauman sejak menyertai Real Madrid pada 2018.

Real Madrid dalam kenyataan memaklumkan: “Kelab telah menyerahkan semua bukti yang ada kepada UEFA berkaitan insiden semasa perlawanan menentang Benfica, yang menyaksikan ‘episod perkauman yang tidak dapat diterima.
“Real Madrid menghargai sokongan, dorongan dan kasih sayang yang diterima pemain kami, Vinicius Jr. daripada semua lapisan komuniti bola sepak dunia.”
Benfica pula menyokong Prestianni menyifatkan tuduhan itu sebagai “kempen fitnah”, manakala pengurus Jose Mourinho mempertikaikan cara Vinicius meraikan gol. -AFP