Ratu wushu, Cheong Min dinobat atlet terbaik Malaysia Sukan SEA Thailand 2025

Ratu wushu, Cheong Min dinobat atlet terbaik Malaysia Sukan SEA Thailand 2025.

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Ratu wushu negara, Tan Cheong Min, muncul antara tumpuan utama pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) apabila dinobatkan sebagai atlet terbaik Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cheong Min dinobat atlet terbaik Malaysia Sukan SEA Thailand 2025 selepas pungutan dua emas dalam acara wushu.
  • Beliau latihan intensif tiga bulan di China dan sertai lima kejohanan berturut-turut sebelum Sukan SEA.
  • Atlet hadapi cabaran kecederaan tetapi pulih dengan bantuan Institut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara.
  • MSN agihkan RM2.652 juta insentif SHAKAM kepada atlet berdasarkan pencapaian kontinjen di Sukan SEA.

Atlet berusia 27 tahun itu menerima insentif RM26,666.67 hasil kejayaan meraih dua pingat emas menerusi acara gabungan nanquan, nandao dan nangun, serta acara duilian berpasukan wanita bersama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee.

Menurut Cheong Min, kejayaan tersebut hasil persiapan rapi termasuk kem latihan intensif selama tiga bulan di China bermula Mac tahun lalu sebelum mengharungi lima kejohanan berturut-turut sehingga kemuncak di Sukan SEA.

“Saya boleh katakan usaha semua pihak sepanjang tahun lalu sangat berjaya. Saya menyertai kira-kira lima kejohanan berturut-turut dan ramai menyifatkan pencapaian saya amat cemerlang apabila berjaya meraih lapan pingat emas dan tiga perak secara keseluruhan, Saya amat menghargai segala usaha, sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Disebabkan itu, saya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan tanpa memikirkan perkara lain dan memberikan aksi terbaik ketika pertandingan.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian SHAKAM di ibu negara.

Sepanjang musim lalu, Cheong Min turut berdepan cabaran kecederaan, namun berjaya diatasi dengan bantuan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Terdahulu, majlis penyampaian insentif itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr K. Nagulendran serta Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.

Sementara itu, perenang kebangsaan Khiew Hoe Yean muncul penerima insentif tertinggi kategori lelaki apabila membawa pulang RM32,000 selepas memenangi emas acara 200 meter dan 400 meter gaya bebas, selain dua pingat perak menerusi acara 4×200 meter dan 4×100 meter gaya bebas.

Secara keseluruhan, MSN mengagihkan RM2.652 juta insentif SHAKAM kepada atlet daripada 46 jenis sukan berdasarkan pencapaian di Sukan SEA Thailand 2025, dengan kontinjen negara meraih 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa.

Bagi Sukan Para ASEAN Thailand 2025, perenang para negara Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim muncul penerima insentif tertinggi masing-masing dengan RM62,000 dan RM39,000, manakala keseluruhan kontinjen para menerima RM1.475 juta hasil kutipan 201 pingat.##

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan