Ranking FIFA: Malaysia jatuh ke tangga 138 dunia

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 April – Malaysia jatuh 17 anak tangga ke kedudukan ke-138 dunia dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang dikemas kini pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedudukan Malaysia merosot selepas kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.
  • AFC membatalkan dua keputusan perlawanan Malaysia lawan Nepal dan Vietnam yang sebelum ini dicatatkan sebagai kemenangan.
  • Jawatankuasa Tatatertib AFC mengenakan kekalahan 0-3 susulan penurunan tujuh pemain tidak layak dan isu pemalsuan dokumen.

Berdasarkan senarai terkini, skuad Harimau Malaya yang mengumpul 1,086.22 mata keseluruhan merosot daripada tangga ke-121 susulan kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.

Kejatuhan itu turut dipengaruhi keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua keputusan perlawanan Malaysia dalam kempen kelayakan berdepan Nepal dan Vietnam sebelum ini.

Mengikut keputusan asal, Malaysia menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac tahun lalu serta mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun tahun lalu.

Namun, pada 17 Mac lalu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan Malaysia dikenakan kekalahan 0-3 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan selepas didapati menurunkan pemain tidak layak.

Keputusan itu susulan isu pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

FOTO FIFA