
YANBU, 17 Januari – Pelumba Qatar, Nasser Al-Attiyah tampil cemerlang apabila merangkul kejuaraan kategori kereta saingan Rali Dakar 2026 buat kali keenam di Arab Saudi.
Al-Attiyah, yang memandu jentera Dacia mencatat kemenangan peringkat ke-50 dalam kariernya, sekali gus menambah koleksi kejuaraan Dakar selepas sebelum ini muncul juara pada edisi 2011, 2015, 2019, 2022 dan 2024.
Pelumba berusia 55 tahun yang bergandingan dengan pemandu arah dari Belgium, Fabian Lurquin menguasai kedudukan teratas keseluruhan sejak awal perlumbaan.
Mereka menamatkan saingan peringkat ke-13 dan terakhir di tempat kesembilan.
Bagaimanapun itu sudah cukup untuk membolehkan mereka mendahului hampir 10 minit berbanding Nani Roma dari Sepanyol yang memandu jentera Ford.
Rakan sepasukan Roma, Mattias Ekstrom dari Sweden memenangi peringkat terakhir dan melengkapkan podium keseluruhan di tempat ketiga.
Sebelum ini, juara bertahan, Yazeed Al Rajhi dari Arab Saudi terpaksa menarik diri akibat masalah mekanikal.