Pusingan 16 terakhir UCL: PSG bawa bekalan selesa

Pemain PSG meraikan kemenangan di gelanggang sendiri / AFP)

PARIS, 12 Mac – Juara bertahan, Paris St Germain (PSG) membawa bekalan selesa bagi aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas menundukkan Chelsea 5-2 dalam perlawanan pertama di Parc des Princes awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Khvicha Kvaratskhelia meledak dua gol pada penghujung perlawanan untuk mencuri tumpuan.
  • PSG terlebih dahulu menjaringkan melalui Bradley Barcola dan Ousmane Dembele, namun Chelsea bangkit dengan gol Malo Gusto dan Enzo Fernandez.
  • Chelsea gagal kekal tenang pada 15 hingga 20 minit terakhir; pengurus Liam Rosenior terima tanggungjawab dan akui perlu perbaiki saat kritikal.

Pemain gantian, Khvicha Kvaratskhelia mencuri tumpuan apabila meledak dua gol pada penghujung perlawanan memastikan skuad kendalian Luis Enrique itu memiliki kelebihan besar menjelang aksi timbal balik di London.

Dalam aksi tersebut, PSG mendahului sebanyak dua kali menerusi jaringan Bradley Barcola dan Ousmane Dembele, namun The Blues kental bangkit menyamakan kedudukan hasil gol Malo Gusto dan Enzo Fernandez.

Bagaimanapun, kerapuhan benteng Chelsea pada 15 minit terakhir dihukum oleh Vitinha sebelum Kvaratskhelia meledak dua gol pantas untuk melengkapkan kemenangan bergaya buat gergasi Perancis itu.

Biarpun melakar kemenangan selesa, ketua jurulatih PSG, Luis Enrique tetap mahu anak-anak buahnya kekal fokus menjelang aksi kedua di tempat lawan.

“Kami terus cuba bermain mengikut corak sendiri menentang pasukan yang sangat fizikal dan kuat secara teknikal. Ia sangat sukar dan itulah yang kami jangkakan dalam perlawanan di London nanti.”

“Kami perlu mengekalkan momentum ini dan berehat secukupnya untuk membuat persiapan terbaik bagi aksi di tempat lawan,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengakui kegagalan pasukannya mengekalkan ketenangan pada hujung perlawanan perlawanan membawa padah.

“15 hingga 20 minit terakhir adalah sesuatu yang gila dalam banyak aspek dan itu adalah tanggungjawab saya. Kami perlu lebih baik dalam saat-saat kritikal.”

“Kesilapan boleh berlaku, tetapi anda perlu kekal tenang. Saya juga bertanggungjawab. Kami gagal melakukannya dan dihukum oleh pasukan yang sangat baik. Ia keputusan yang pedih kerana selama 75 minit, kami sebenarnya berada dalam persaingan sengit,” jelas Rosenior.

Chelsea akan melayan kunjungan PSG di Stamford Bridge untuk perlawanan timbal balik pada Selasa (17 Mac) bagi menentukan slot ke peringkat suku akhir.-REUTERS