
KUALA LUMPUR, 5 Mac– Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) memberi amaran tegas tidak akan berkompromi terhadap aspek prestasi, termasuk bersedia menamatkan kontrak jurulatih skuad kebangsaan sekiranya gagal memenuhi standard yang telah ditetapkan.
- PTM sedia tamat kontrak jurulatih jika gagal capai standard prestasi ditetapkan.
- Atlet mesti tunjuk komitmen dan disiplin 100% atau berisiko digugurkan daripada skuad.
- PTM mungkin tidak menghantar wakil ke kejohanan jika sasaran prestasi dianggap sukar dicapai.
Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli berkata barisan jurulatih dan atlet perlu meningkatkan kualiti latihan serta menunjukkan peningkatan prestasi secara konsisten dalam setiap kejohanan, khususnya sebagai persediaan rapi menjelang Sukan Komanwel di Glasgow.
Tambahnya, penilaian prestasi secara menyeluruh akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menentukan tindakan susulan yang wajar diambil terhadap barisan kejurulatihan sedia ada.
“Mengenai jurulatih, kita akan menilai dalam masa terdekat tindakan yang perlu dibuat. Jika komitmen yang ditunjukkan adalah baik dan kita yakin dengan kemampuan mereka, kita akan kekalkan.”
“Ketetapan ini turut terpakai kepada atlet. Kita mahukan mereka yang memberikan komitmen dan disiplin seratus peratus untuk kekal dalam skuad. Sekiranya timbul sebarang masalah, termasuk isu peribadi yang menjejaskan prestasi, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Iruan meletakkan harapan agar skuad negara sekurang-kurangnya mampu melangkah ke peringkat suku akhir pada Sukan Komanwel nanti.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk tidak menghantar wakil sekiranya prestasi atlet masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
“Jika kita merasakan sasaran yang ditetapkan sukar dicapai, kita tidak akan menghantar mana-mana atlet. Lebih baik tidak menghantar mereka daripada kita membazirkan perbelanjaan tanpa sebarang hasil,” ujarnya.
Berdasarkan rekod, skuad tinju negara mempamerkan pencapaian kurang memuaskan pada Sukan SEA Thailand tahun lalu apabila sekadar membawa pulang dua pingat gangsa tanpa sebarang kilauan emas.