
SHAH ALAM, 5 Mac– Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menegaskan bahawa kebangkitan prestasi sukan sepak takraw negara sejak kebelakangan ini adalah hasil perancangan teliti dan bukan kejayaan yang dicapai dalam tempoh singkat.
- PSM sifatkan kebangkitan prestasi sepak takraw hasil perancangan teliti dan anjakan mentaliti, bukan kejayaan segera.
- Fokus utama ialah pembinaan imej, keyakinan diri dan perwatakan profesional pemain bagi persaingan peringkat dunia.
- Perancangan pelancaran Akademi Sepak Takraw dengan UiTM sebagai rakan strategik utama untuk pembangunan akar umbi.
- PSM mahu manfaatkan kepakaran dan fasiliti UiTM bagi memastikan pembangunan pemain selari standard antarabangsa.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, menjelaskan bahawa anjakan mentaliti merupakan faktor utama kebangkitan sepak takraw negara selain bakat semula jadi.
Justeru, PSM kini memberi tumpuan serius terhadap pembinaan imej dan keyakinan diri pemain bagi memastikan mereka memiliki perwatakan profesional yang setaraf dengan atlet di peringkat dunia.
Sebagai langkah memperkasakan pembangunan akar umbi, PSM bakal melancarkan sebuah Akademi Sepak Takraw dalam masa terdekat dengan menyasarkan UiTM sebagai rakan strategik utama bagi inisiatif tersebut.
“Dari aspek perkongsian ilmu, fokus kita adalah pada pembangunan minda pemain, sama ada di peringkat negara mahupun SUKMA. Selain itu, aspek fasiliti juga amat kritikal. Di peringkat persatuan, kami mempunyai akademi, namun cabarannya adalah bagaimana mahu menyelaraskan kemudahan tersebut.”
“Sebagai contoh, di UiTM kita ada pemain akademi, tetapi untuk mencapai standard antarabangsa, kita perlu menempatkan mereka di fasiliti yang tepat dan berkualiti tinggi bagi memastikan pembangunan mereka selari dengan tahap global,” kata Datuk Mohd Sumali kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas hadir sebagai tetamu jemputan dalam Forum Konvensyen Pentadbir UiTM, di sini.
Menurut beliau, UiTM merupakan “lubuk” bakat pemain bumiputera yang amat selari dengan identiti sukan sepak takraw, selain memiliki rekod cemerlang dalam pentadbiran sukan.
Datuk Mohd Sumali mengakui bahawa beliau kagum dengan konsistensi universiti berkenaan yang berjaya mengekalkan kejuaraan sebanyak 15 kali dalam kejohanan sukan antara universiti.
PSM kini memerlukan suntikan idea dan kepakaran daripada institusi tersebut untuk memastikan kecemerlangan sepak takraw dapat dikekalkan secara mampan.