
BUENOS AIRES, 2 April – Pemain Benfica, Gianluca Prestianni menegaskan dia dihukum “tanpa bukti” susulan dakwaan melakukan penghinaan berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid, Vinicius Junior.
- Dakwaan penghinaan berbaur perkauman terhadap Vinicius ketika menutup mulut dengan jersi semasa perlawanan.
- UEFA menggantungnya sementara dan membuka siasatan; jika disabitkan, berdepan penggantungan sekurang-kurangnya 10 perlawanan.
- Prestianni menafikan tuduhan, berkata ia menyakitkan, menerima sokongan kelab, dan dipanggil ke skuad Argentina.
Pemain Argentina berusia 20 tahun itu didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman terhadap pemain Brazil berkenaan pada Februari lalu, ketika menutup mulutnya dengan jersi.
Insiden itu menyaksikan pengadil menghentikan perlawanan selama 10 minit sebelum Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menggantung Prestianni daripada aksi timbal balik serta membuka siasatan lanjut.
Sekiranya didapati bersalah, dia berdepan hukuman penggantungan sekurang-kurangnya 10 perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Real Madrid mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah dengan agregat 3-1.
Prestianni, dalam temu bual bersama penyiar Argentina, Telefe, mengakui tidak dapat beraksi pada perlawanan timbal balik di Madrid memberi kesan besar kepadanya, selain menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
“Saya terfikir tentang keluarga saya, ayah, ibu dan datuk nenek apabila pelbagai perkara diperkatakan yang tidak mencerminkan diri saya dan tidak pernah berlaku.
“Ia sesuatu yang buruk dan sangat menyakitkan,” katanya dalam temu bual pertama sejak insiden itu.
Pemain itu turut berterima kasih kepada kelab serta rakan sepasukan atas sokongan yang diberikan, selain menyifatkan jurulatihnya, Jose Mourinho sebagai “luar biasa”.
Mourinho sebelum ini menerima kritikan selepas dilihat memberi bayangan bahawa Vinicius mencetuskan provokasi menerusi cara meraikan jaringan pada perlawanan pertama.
Bagaimanapun, pengendali Benfica itu kemudian menjelaskan pendiriannya dan menegaskan sekiranya siasatan mengesahkan wujud unsur perkauman, pemain berkenaan tidak akan lagi beraksi di bawah kendaliannya.
Dalam perkembangan lain, Prestianni turut dipanggil menyertai skuad Argentina bagi aksi persahabatan minggu lalu.
“Saya bekerja keras setiap hari untuk peluang ini dan impian terbesar saya adalah beraksi di Piala Dunia bersama Argentina,” katanya.-AFP