
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet skuasy negara, S. Sivasangari atas kejayaan menjuarai kejohanan Terbuka Australia 2026 di Brisbane, Australia.
- Kejayaan dianggap pencapaian membanggakan kepada sukan negara, bukti keazaman, disiplin dan semangat juang tinggi atlet Malaysia.
- Sivasangari menamatkan kemarau gelaran selama 13 bulan.
- Mencatat kemenangan final 3-0 ke atas Marina Stefanoni dengan keputusan 11-7, 11-4, 11-8 dalam 28 minit.
- Mengekalkan rekod kemenangan sempurna ke atas Stefanoni selepas tiga pertemuan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian membanggakan buat sukan negara serta bukti keazaman dan disiplin tinggi yang dimiliki atlet Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan dunia sukan tanah air, malah menjadi bukti keazaman, disiplin dan semangat juang tinggi yang dimiliki atlet negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” menurut hantaran itu.
Semalam, Sivasangari menamatkan kemarau gelaran selama 13 bulan apabila muncul juara Terbuka Australia selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Marina Stefanoni 3-0 (11-7, 11-4, 11-8) dalam aksi final yang berlangsung selama 28 minit di South Bank Piazza.
Kemenangan itu turut menyaksikan pemain ranking keenam dunia berkenaan mengekalkan rekod kemenangan sempurna ke atas Stefanoni yang kini berada di kedudukan ke-19 dunia selepas tiga pertemuan.