
ISKANDAR PUTERI, 13 Februari – Tonggak baharu Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT), Ajdin Mujagic memulakan debut bersama pasukan berkenaan dengan penuh bergaya apabila meledak hatrik dalam kemenangan 5-0 ke atas Melaka FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat.
- Ajdin Mujagic memulakan debut cemerlang dengan hatrik, membantu JDT menang 5-0 ke atas Melaka FC.
- Kemenangan besar meletakkan JDT hampir layak ke separuh akhir dan kukuhkan usaha pertahankan kejuaraan.
- Ketua jurulatih Melaka FC akui tugas sukar untuk bangkit, fokus kini pada perlawanan liga seterusnya.
Kemenangan besar itu menyaksikan JDT kini sebelah kaki untuk melangkah ke separuh akhir sekali gus berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Bermain di halaman sendiri, tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Mujagic mudah menampan masuk gol pertama pada minit ke-5.
Penyerang dari Bosnia itu terus mempamerkan ketajaman apabila menambah gol kedua peribadi selang tiga minit kemudian menerusi rembatan dalam kotak penalti.
Mujagic menyempurnakan hatrik pada minit ke-61, menerusi rembatan tepat, sebelum membantu jaringan Manuel Hidalgo pada minit ke-73.
Pemain gantian, Marcos Guilherme melengkapkan pesta gol JDT selepas berjaya memperdayakan penjaga gol Melaka FC, Haziq Aiman bagi gol kelima perlawanan.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, memuji persembahan Mujagic sebagai satu suntikan positif buat pasukan.
Beliau berkata, penyerang baharu itu memiliki kualiti penyudah yang baik terutama di dalam kotak penalti.
“Persembahannya sangat positif kerana beliau seorang penyerang yang bagus dan berjaya mencipta banyak peluang.

“Saya tahu beliau penyerang yang bagus ketika di dalam kotak penalti. Penyudahnya juga sangat baik. Ini penting kerana beliau mampu memperkuatkan lagi pasukan,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka FC, E Elavarasan mengakui tugas sukar menanti pasukannya selepas ketinggalan dengan jumlah gol yang agak besar.
“Kalau kita lihat keadaan sekarang, ketinggalan 5-0 kepada JDT bukan tugas yang mudah untuk bangkit. Kita perlu berdepan dengan realiti bahawa situasi ini sangat sukar buat pasukan.
“Memang mudah untuk kata kita akan terus berjuang, tetapi ketika ini kita akui tewas kepada pasukan yang lebih baik dan akan memberi fokus kepada perlawanan liga seterusnya”, ujarnya.
Aksi kedua Suku Akhir Piala Malaysia bakal berlangsung di Stadium Hang
Jebat, Melaka, 25 Februari ini.