Piala Malaysia: Faisal Halim bantu Selangor tewaskan TRW FC 2-1

Muhammad Faisal meraikan jaringan gol pada perlawanan menentang The Real Warriors FC malam tadi. Foto/Selangor FC

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Penyerang sensasi Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim meledakkan dua gol untuk membantu skuad Gergasi Merah menewaskan The Real Warriors FC (TRW FC) 2-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 kempen Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Faisal meledakkan dua gol untuk membawa Selangor menang 2-1 ke atas TRW FC.
  • Kedudukan disamakan pada minit ke-60 sebelum Faisal menjaringkan gol kemenangan masa tambahan.
  • Kemenangan beri kelebihan kepada Selangor menjelang perlawanan kedua di Stadium MBPJ pada 23 Januari.

Pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-25 apabila Alexander Lyngbo menolak masuk bola hantaran lintang ke dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Selangor FC Kalamullah Hafiz.

Skuad Gergasi Merah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan Muhammad Faisal pada minit ke-60 sebelum sekali lagi menjaringkan gol pada masa tambahan babak kedua.

Kemenangan itu memberikan kelebihan kepada Selangor FC untuk menghadapi perlawanan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Januari ini.

Sementara itu, aksi di Stadium UM Arena di Universiti Malaya menyaksikan Terengganu FC (TFC) mudah menewaskan tuan rumah UM-Damansara United 2-0.

Skuad penyu di bawah kendalian jurulatih Tengku Hazman Raja Hassan berjaya membolosi gawang pasukan tuan rumah seawal minit kelima menerusi pemain import dari Brazil Careca.

UM-Damansara United terus ditimpa malang apabila kapten pasukan Shivan Pillay tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-78 hasil satu sepakan percuma Terengganu, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0 buat pasukan pelawat.

Keputusan itu membolehkan TFC membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat ini.-Bernama