Piala Cincinnati Gaynor: Noor Ainaa mara ke pusingan kedua

Pemain skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi di Sukan SEA Thailand 2025 / FOTO BERNAMA

OHIO, 19 FEBRUARI – Pemain skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi, mara ke pusingan kedua Piala Cincinnati Gaynor 2026 yang berlangsung di Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Noor Ainaa mara ke pusingan kedua Piala Cincinnati Gaynor 2026 selepas bangkit menewaskan Marie Stephan dalam pusingan pertama.
  • Kemenangan dicapai dengan keputusan 12-14, 11-9, 11-7, 12-10 terhadap pemain ranking ke-54 dunia itu.
  • Noor Ainaa akan berdepan pilihan utama Georgina Kennedy pada pusingan kedua, manakala Rachel Arnold bertemu Menna Hamed.

Juara pingat emas Sukan SEA 2025 itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan pemain Perancis, Marie Stephan, dalam aksi pusingan pertama, Rabu.

Pemain ranking ke-57 dunia itu mencatat kemenangan 12-14, 11-9, 11-7, 12-10 ke atas pemain yang berada di kedudukan ke-54 dunia berkenaan.

Pada pusingan kedua, Noor Ainaa dijadual berdepan cabaran lebih sengit apabila bakal menentang pilihan utama kejohanan dari England, Georgina Kennedy, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Rachel Arnold, yang menerima ‘bye’ pada pusingan pertama, akan memulakan kempen dengan menentang pemain Mesir, Menna Hamed, dalam aksi pusingan kedua.

Menna mara selepas menewaskan pemain tuan rumah, Charlotte Sze, menerusi pertarungan lima set yang berkesudahan 9-11, 11-2, 11-9, 4-11, 11-8.

Kejohanan bertaraf Perak anjuran Professional Squash Association itu menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak USD86,250, bersamaan kira-kira RM337,582.