Piala Asia : PM puji semangat juang skuad wanita B-17

Semangat, usaha serta keberanian pemain untuk memberi aksi terbaik wajar dihargai / Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Semangat juang skuad bola sepak remaja wanita negara, wajar dihargai walaupun gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 selepas tunduk 0-4 kepada India, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha dan keberanian pemain melalui hantaran di Facebook.
  • Anwar menggesa pemain jadikan pengalaman sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat.
  • Skuad memulakan kempen dengan kemenangan ke atas Syria 1-0 dan menewaskan Iraq 4-0.
  • Format kejohanan: lapan juara kumpulan sertai empat pasukan telah mengesahkan tempat, termasuk Korea Utara, Jepun, Australia dan China.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji semangat mereka.

“Semangat, usaha serta keberanian yang ditampilkan pemain untuk memberi aksi terbaik sepanjang kejohanan wajar dihargai.

“Jadikan pengalaman itu sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat dan melakar kejayaan dalam kejohanan akan datang.

“Teruskan melangkah, Malaysia,”menurut hantaran berkenaan.

Terdahulu, hasrat skuad muda negara untuk melakar sejarah dengan melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan itu di China tidak kesampaian selepas tewas kepada India dalam aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang,.

Skuad negara sebelum itu memulakan kempen dengan menewaskan Syria 1-0, sebelum membelasah Iraq 4-0 dalam perlawanan kedua.

Mengikut format kejohanan, lapan juara kumpulan bakal menyertai empat pasukan yang telah mengesahkan tempat ke pusingan akhir, masing-masing juara bertahan Korea Utara, Jepun, Australia dan tuan rumah China.

Pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 dijadual berlangsung dari 31 Mac hingga 17 April 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.