Pentas dunia terakhir Azizulhasni di Nilai

Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai dijangka menjadi pentas terakhir buat Datuk Azizulhasni Awang. – BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 April – Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai yang akan berlangsung bermula 24 April ini dijangka menjadi pentas terakhir buat jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang beraksi di hadapan penyokong tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azizul berdepan cabaran sengit dalam acara keirin menentang pelumba elit dunia.
  • Azizul diberi tumpuan persiapan, tidak menyertai ACC Tagaytay demi mengekalkan kecergasan selepas raih emas di Piala Dunia Perth.
  • Saingan diwarnai nama besar seperti Harrie Lavreysen, Nicholas Paul, Shah Firdaus, Sebastien Vigier, Luca Spiegel dan Danial Staniszewski.

Kejohanan berprestij itu akan menyaksikan Azizul berdepan cabaran sengit daripada barisan pelumba elit dunia dalam acara keirin.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kejohanan itu memberi peluang terakhir kepada peminat tempatan untuk menyaksikan Azizul beraksi di pentas antarabangsa di Malaysia.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill – BERNAMA

“Saya sudah maklumkan sebelum ini, ini adalah penampilan terakhir Datuk Azizul di kejohanan antarabangsa tertinggi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, fokus kini diberikan sepenuhnya kepada persiapan pelumba berpengalaman itu selepas meraih pingat emas di Piala Dunia Perth, selain tidak menyertai Asian Cycling Confederation (ACC) Track di Tagaytay, Filipina bagi memastikan tahap kecergasan terbaik.

“Inilah peluang untuk melihat atlet bertaraf dunia beraksi di depan mata sendiri. Datanglah ke Velodrom Nasional Nilai dan beri sokongan kepada atlet negara,” katanya.

Antara nama besar yang bakal mencuri tumpuan termasuk juara Olimpik lima kali dari Belanda, Harrie Lavreysen serta pencabar utama dari Trinidad & Tobago, Nicholas Paul.

Saingan turut dibarisi pelumba berprofil tinggi lain seperti rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland).

Dalam masa sama, Azizul turut memberi tumpuan kepada kejohanan berkenaan dengan sasaran jangka panjang termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.