
KUALA LUMPUR, 20 Februari– Penerjun senior negara digesa untuk mengubah sikap dan meningkatkan intensiti latihan sekiranya mahu terus kekal dalam program kebangsaan sehingga temasya utama akan datang.
- Penerjun senior mesti ubah sikap, tingkatkan intensiti latihan dan patuhi arahan jurulatih untuk kekal dalam program kebangsaan.
- Prestasi dinilai berdasarkan KPI sehingga Sukan Asia; kegagalan akan diikuti dengan nasihat dan perbincangan lanjut.
- MAS struktur semula program, pilih atlet baharu berpotensi dan bakal umum pelantikan jurulatih asing tidak lama lagi.
Setiausaha Agung Akuatik Malaysia (MAS), Andy Low menegaskan faktor umur tidak boleh dijadikan alasan untuk gagal bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kontrak penerjun senior ketika ini masih berjalan sehingga Sukan Asia dan prestasi mereka akan dinilai berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
“Mereka perlu mengubah sikap, berlatih dengan bersungguh-sungguh serta mematuhi arahan jurulatih. Jika mahu berada pada tahap tertinggi, mereka juga perlu melakukan apa yang dilakukan oleh pesaing.”
“Sekiranya selepas itu mereka masih gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan, saya berpandangan kita perlu menasihati serta mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara, di sini.
Mengulas mengenai perbincangan mesyuarat berkenaan, Andy berkata beberapa keputusan penting telah dipersetujui termasuk pemilihan atlet serta penstrukturan semula program.
“Kita mempunyai bukti bahawa atlet baharu berpotensi untuk meraih kedudukan podium pada Sukan SEA 2027. Bagi acara terjun, pendekatan sama turut dilaksanakan selain beberapa penambahbaikan yang sedang dan akan terus dilakukan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan MAS akan membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan jurulatih asing bagi skuad terjun dan renang kebangsaan sebaik semua proses dimuktamadkan dalam masa terdekat.