
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pencapaian beregu lelaki kebanggaan negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul naib juara Terbuka Malaysia 2026, sebagai bukti kecekalan dan disiplin tinggi kedua-dua pemain itu.
- Pencapaian Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bukti kecekalan dan disiplin tinggi kedua-dua pemain.
- Kejayaan mara ke final tunjuk kualiti juang yang tidak pernah luntur.
- Perlawanan akhir menjadi asas dan pengalaman untuk kejayaan lebih gemilang pada masa depan.
- Warga dan pemimpin negara memberi sokongan padu serta kebanggaan terhadap perjuangan mereka.
Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklum, kejayaan beregu negara mara hingga ke final juga menunjukkan kualiti juang yang tidak pernah luntur walaupun tirai awal 2026 belum berpihak kepada Malaysia untuk merangkul gelaran juara kejohanan itu.
”Ia bukan sekadar satu keputusan tetapi manifestasi usaha berterusan dan kematangan permainan di peringkat tertinggi dunia. Setiap langkah yang diambil hari ini adalah asas kepada kejayaan yang lebih besar esok hari.
”Teruskan melangkah dengan penuh keyakinan, bangkit dengan semangat yang lebih ampuh dan jadikan pengalaman ini sebagai pemangkin untuk menawan kejayaan yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada kedua atlet tersebut.
”Seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang kalian. Kami bangga, percaya dan sentiasa menyokong perjuangan ini hingga ke puncak tertinggi,” katanya.
Terdahulu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada gandingan pilihan utama dan juara bertahan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, 15-21, 21-12, 18-21, dalam perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, sekali gus melanjutkan kemarau 12 tahun Malaysia dalam acara itu.-BERNAMA