
SEMENYIH, 15 Februari – Perbincangan mengenai penajaan pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli bersama Petronas Sprinta dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
- Perbincangan penajaan Hakim Danish bersama Petronas Sprinta hampir dimuktamadkan selepas rundingan menunjukkan perkembangan positif.
- ZK Racing bertindak agresif mendapatkan tajaan supaya Hakim Danish tidak hadapi kekangan kewangan untuk debut MotoGP.
- Masih diperlukan sokongan syarikat korporat tambahan meskipun ada tawaran yang melibatkan program lain.
- Hakim Danish, 18, dijangka membuat debut Moto3 pada pembuka tirai MotoGP di Litar Antarabangsa Chang, Thailand hujung bulan ini.
Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang mengesahkan perkara itu berkata, sesi perbincangan antara pihaknya dengan jenama bawah Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd menunjukkan perkembangan positif.
Rundingan berkenaan merupakan sebahagian usaha agresif pihak pengurusan bagi memastikan Hakim Danish dapat beraksi tanpa sebarang kekangan kewangan pada penampilan sulungnya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
“Tetapi kita masih lagi perlukan sokongan daripada syarikat-syarikat korporat. Saya sendiri bertindak lebih agresif untuk dua minggu terakhir bagi mendapatkan penajaan.
“Bukanlah kami tidak dapat tajaan untuk Hakim Danish, tetapi ia melibatkan program lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Anytime Fitness Club di sini.
Sebelum ini media melaporkan Hakim Danish berdepan isu kekurangan dana bagi menyertai perlumbaan berprestij itu.
Terdahulu, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish, 18, bakal membuat penampilan sulung pada pembuka tirai MotoGP di Litar Antarabangsa Chang, Thailand hujung bulan ini.