Pemilihan Presiden FAM perlu teliti, utamakan kepimpinan berwibawa dan kewangan kukuh

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Proses pemilihan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu dilakukan secara teliti dan menyeluruh bagi memastikan badan induk bola sepak negara diterajui kepimpinan yang benar-benar berwibawa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan presiden FAM mesti teliti untuk pastikan kepimpinan berwibawa dan dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.
  • Kepimpinan perlu mempunyai jaringan luas, aura serta pengetahuan statut dan isu teknikal bola sepak.
  • Aspek kewangan kukuh dan keupayaan menarik penaja adalah penting untuk perkembangan bola sepak negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warriors (TRW), Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata tanggungjawab FAM amat besar kerana badan itu bukan sahaja mengurus bola sepak di peringkat domestik, malah terlibat di peringkat Asia dan global termasuk kerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata demikian susulan pelbagai spekulasi dan tawar-menawar yang timbul berhubung kepimpinan baharu FAM, termasuk pencalonan beberapa tokoh seperti Datuk Seri Megat Shariman, cadangan menamakan Tuanku Sultan Pahang serta Tunku Mahkota Johor (TMJ), selain beberapa individu lain yang dilihat berpotensi mengisi jawatan tersebut.

“Bukan mudah nak jadi presiden terutama sekali presiden FAM, saya perlu faham tentang aspek-aspek mengenai statut, faham isu teknikal, harus mempunyai aura, mempunyai jaringan yang luas, dihormati oleh orang ramai bukan sahaja di Malaysia, bukan sahaja di kalangan pemain dan peminat, bahkan kepimpinan negara malahan kepimpinan global.

“Jika aspek ini tiada, agak sukar untuk menjadi presiden FAM. Tidak semudah itu untuk menjadi exco FAM kerana perlu melalui jawatankuasa tetap, jawatankuasa pengadilan serta perlawanan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya lagi, cabaran utama bola sepak negara ketika ini adalah aspek kewangan dan keupayaan menarik penaja, yang memerlukan kepimpinan berprofil tinggi serta dikenali ramai.

Beliau turut berpandangan perbincangan mengenai sama ada jawatan Presiden FAM perlu diisi kerabat atau ahli politik perlu dilihat secara realistik, memandangkan bola sepak memerlukan sumber kewangan yang kukuh untuk berkembang.

“Jika kepimpinan dan pasukan bagus tetapi kewangan bermasalah, segala usaha tidak akan bermakna,”katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya bermuhasabah dan tidak mengetepikan peranan badan gabungan yang mempunyai kuasa mencalonkan kepimpinan baharu FAM.