
LONDON, 8 Februari – Pemain baharu Liverpool, Jeremy Jacquet dilaporkan mengalami kecederaan bahu yang serius ketika beraksi bersama Rennes dalam kekalahan 3-1 kepada RC Lens pada aksi Ligue 1, Sabtu lalu,
- Jeremy Jacquet mengalami kecederaan bahu serius ketika beraksi untuk Rennes, menimbulkan kebimbangan mengenai perpindahan ke Liverpool.
- Jurulatih Habib Beye mengesahkan kecederaan Jacquet dan Ait Boudlal nampak agak serius, penilaian lanjut diperlukan.
- Liverpool juga berdepan masalah kecederaan pertahanan lain sebelum pertemuan menentang Manchester City.
Ia sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tahap kecergasannya menjelang perpindahan ke Anfield pada musim panas.
Pertahanan berusia 20 tahun itu terjatuh pada babak kedua perlawanan dan kelihatan menahan kesakitan sebelum dibawa keluar dari padang.
Ketua jurulatih Rennes, Habib Beye berkata kecederaan berkenaan membabitkan bahu Jacquet, manakala seorang lagi pemain, Abdelhamid Ait Boudlal, turut mengalami masalah otot pada perlawanan sama.
“Kami akan menilai keadaannya dengan lebih lanjut, namun kecederaan kedua-dua pemain itu kelihatan agak serius,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Liverpool sebelum ini dilaporkan mencapai persetujuan bernilai £60 juta pound (kira-kira AS$80 juta) untuk mendapatkan Jacquet, namun pemain itu akan kekal bersama kelab Perancis berkenaan sehingga tamat musim ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Liverpool yang kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris turut berdepan masalah kecederaan apabila empat pertahanan iaitu Giovanni Leoni, Joe Gomez, Jeremie Frimpong dan Conor Bradley masih belum dapat diturunkan menjelang pertemuan menentang Manchester City. -REUTERS