
KUALA LUMPUR, 7 Februari – Kuala Lumpur menjadi tumpuan dunia permotoran hari ini dengan pelancaran MotoGP Kuala Lumpur di Menara Berkembar Petronas, di sini, sekali gus menandakan permulaan musim baharu MotoGP yang dinanti-nantikan peminat sukan permotoran tempatan dan antarabangsa.
- Pelancaran mempromosikan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya antarabangsa dan destinasi sukan permotoran global.
- Acara meriah dengan persembahan The Script, DJ Pawsa, Dolla dan kemunculan pelumba serta hiburan langsung.
- Litar mini 1.5 km dengan laluan lurus 400 m, pit dan grandstand untuk demonstrasi serta keselamatan penonton.
Pelancaran berkenaan bukan sahaja sebagai pembukaan musim perlumbaan MotoGP tahun 2026, malah bertujuan mempromosikan imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa serta destinasi global sukan permotoran.
Ia meletakkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar moden, dinamik dan berdaya saing, selari dengan aspirasi negara dalam memperkukuh sektor sukan, pelancongan dan ekonomi bandar.
Pelancaran MotoGP Kuala Lumpur berlangsung meriah dengan pengisian pelbagai program termasuk persembahan kumpulan muzik antarabangsa, The Script serta DJ Pawsa.
Turut memeriahkan acara ialah kumpulan muzik, Dolla selain kemunculan pelumba-pelumba MotoGP, larian motosikal bandar, sesi pembentangan pasukan, pemberian cenderamata kepada peminat serta pelbagai pengisian hiburan secara langsung.
Lebih membanggakan, Malaysia turut mempunyai wakil dalam kategori Moto3, iaitu Hakim Danish sekali gus menjadi tumpuan peminat tempatan.
Bagi menambahkan keterujaan, sebuah litar mini khas sepanjang hampir 1.5 kilometer turut dibina di sekitar Menara Berkembar Petronas dan lengkap dengan laluan lurus sepanjang 400 meter bagi sesi demonstrasi khas.
Sesi tersebut memberi peluang kepada para pelumba mempamerkan aksi ‘wheelie’, ‘stoppie’ dan ‘burnout’, sekali gus menghiburkan peminat tempatan dan antarabangsa yang hadir.
Litar mini tersebut turut dilengkapi kawasan pit khas serta grandstand bagi membolehkan peminat menyaksikan aksi dari jarak lebih dekat, selain laluan direka khusus bagi memastikan aspek keselamatan dan kawalan optimum sepanjang demonstrasi berlangsung.
Secara keseluruhan, pelancaran MotoGP Kuala Lumpur tersebut menghimpunkan elemen sukan permotoran, hiburan dan pelancongan, sekali gus membawa peminat dengan lebih dekat dengan dunia MotoGP serta mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya global yang berupaya menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf dunia.