
WASHINGTON, 24 Februari – Pasukan hoki ais wanita Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menolak jemputan menghadiri ucapan tahunan Presiden, Donald Trump, di Kongres, menurut laporan media tempatan.
- Pasukan wanita hoki ais AS menolak jemputan menghadiri ucapan Presiden Donald Trump di Kongres.
- Penolakan kerana kekangan masa serta komitmen akademik dan profesional selepas temasya.
- Trump sebelumnya menjemput pasukan lelaki; rakaman panggilan jenaka itu tular di media sosial.
Jemputan itu dibuat selepas Trump secara berseloroh berkata beliau mungkin akan “dipecat” sekiranya tidak menjemput pasukan wanita berkenaan.
Mengikut tradisi, ahli Parti Republikan dan Demokrat lazimnya membawa tetamu masing-masing bagi menyaksikan ucapan tahunan Presiden di Kongres.
Trump sebelum itu menjemput pasukan hoki ais lelaki AS selepas mereka meraih pingat emas Olimpik Musim Sejuk pada Ahad.
Pasukan wanita AS pula menamatkan kemarau emas sejak 2018 apabila menewaskan Kanada 2-1 pada Khamis lalu.
Dalam satu video yang tular di media sosial, Trump kedengaran membuat panggilan telefon menggunakan pembesar suara kepada pasukan lelaki, menjemput mereka ke acara berkenaan sebelum berkata: “Kita perlu bawa pasukan wanita juga, kamu tahu itu, bukan?”
Para pemain kedengaran ketawa sebelum Trump menambah: “Saya percaya saya mungkin akan dipecat, OK?”
Tidak dapat dipastikan sama ada pasukan lelaki itu telah secara rasmi menerima jemputan berkenaan, namun dalam rakaman berkenaan kedengaran mereka bersorak dan berkata, “Kami setuju.”
Menurut laporan NBC yang memetik kenyataan pasukan wanita pada Isnin, para pemain tidak dapat menghadiri ucapan tersebut.
“Kami amat berterima kasih atas jemputan yang diberikan kepada pasukan hoki wanita AS pemenang pingat emas dan menghargai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa ini.
“Namun, disebabkan kekangan masa serta komitmen akademik dan profesional yang telah dijadualkan selepas temasya, para atlet tidak dapat mengambil bahagian,” menurut kenyataan itu.-AFP