
PETALING JAYA, 15 Februari – Selangor FC mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 5-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sekali gus mara dengan agregat 6-1.
- Pan-gon akui Selangor sepatutnya menang lebih besar jika penyudah lebih klinikal.
- Tiga percubaan terkena tiang dan dua gol dibatalkan VAR kurangkan jaringan sebenar.
- Beliau mahu pemain terus merendah diri, bekerja keras dan perbaiki kelemahan.
- Selangor menang 5-1 dan akan bertemu Kuching City FC di separuh akhir.
Bagaimanapun, pengendalinya Kim Pan-gon mengakui keputusan itu sebenarnya mampu menjadi lebih besar sekiranya peluang yang dicipta disudahkan dengan lebih klinikal.
Menurut beliau, tiga percubaan yang terkena tiang selain dua gol dibatalkan VAR menyebabkan Selangor terlepas peluang menambah jaringan, biarpun sudah mendahului empat gol dalam tempoh 45 minit pertama.
“Masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki dan saya belum berpuas hati sepenuhnya. Kami perlu terus merendah diri, bekerja keras dan bergerak langkah demi langkah untuk mencapai sasaran.
“Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya boleh menjaringkan lebih daripada lima gol. Sebagai jurulatih, saya sentiasa mengharapkan lebih, tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan usaha dan komitmen pemain,” katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan dalam sidang media selepas tamat perlawanan antara Selangor FC menentang NSFC di Stadium MBPJ semalam.
Sementara itu, pengendali NSFC, Nidzam Jamil, mengakui kesilapan kecil dan keputusan kurang tepat dalam beberapa situasi memberi ruang kepada Selangor untuk menghukum pasukannya.
“Ada beberapa situasi yang terlalu naif. Apabila menentang pasukan besar, kesilapan kecil pun boleh dihukum.
“Salah membuat keputusan, siapa perlu dikawal, siapa perlu menutup ruang, atau kelewatan sedikit dalam ‘timing’ semuanya membuka ruang kepada lawan. Itu yang berlaku kepada kami pada separuh masa pertama,” jelasnya.
Dalam perlawanan itu, jaringan seawal minit kedua oleh Faisal Halim membantu Selangor mengawal tempo permainan sebelum terus mendominasi hingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor bakal berdepan Kuching City FC pada separuh akhir selepas wakil Borneo itu menyingkirkan DPMM FC dengan agregat 6-2.